Ahad, 13 Jun 2010

Ringkasan Sejarah Rasulullah



Di kala umat manusia dalam kegelapan dan kehilangan pegangan hidupnya, lahirlah ke dunia dari keluarga sederhana di kota Mekah, seorang bayi yang kelak akan membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban dunia. Muhammad nama diberi, suatu nama yang belum pernah ada sebelumnya. Kelahirannya adalah pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 20 April tahun 571 M.

Nabi Muhammad s.a.w. adalah daripada keturunan Qushai, pahlawan suku Quraisy yang telah berhasil menggulingkan kekuasaan Khuza’ah atas kota Mekah. Ayahnya bernama Abdullah bin Abdul Mutalib manakala ibunya bernama Aminah binti Wahab. Baik keluarga dari pihak bapa mahupun ibu, keduanya dari golongan bangsawan dan terhormat dalam kalangan kabilah Arab.

Dalam perjalanan hidupnya dari kanak-kanak hingga dewasa dan sampai diangkat menjadi rasul, baginda terkenal sebagai seorang yang jujur, berbudi luhur dan mempunyai keperibadian yang tinggi.Kerana kejujurannya dalam perkataan dan perbuatan, baginda mendapat julukan “al-Amin” yang bererti ‘dapat dipercayai’. Ketika menginjak usia 40 tahun iaitu pada malam 17 Ramadhan, baginda didatangi Jibril untuk menyampaikan wahyu pertama di saat baginda sedang bertahannut di gua Hira’.

Selepas itu, baginda menerima wahyu kedua, sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Muddatstsir dari ayat 1 hingga 7 yang bermaksud:
“Hai orang yang berselimut, bangun dan berilah peringatan! Besarkanlah (nama) Tuhanmu, bersihkanlah pakaianmu, jauhilah perbuatan maksiat, janganlah kamu memberi kerana hendak memperolehi yang lebih banyak. Dan hendaklah kamu bersabar untuk memenuhi perintah Tuhanmu.”
Baginda mula menyampaikan agama Islam secara sembunyi selama tiga tahun dan seterusnya secara terang-terangan. Walaupun menghadapi pelbagai halangan dan tentangan, namun baginda tetap tabah menghadapinya. Apatah lagi dengan kelebihan dan mukjizat yang diberikan oleh Allah kepadanya termasuklah mukjizat yang paling agung iaitu al-Quran.

Begitulah sejarah ringkas mengenai junjugan muliakita sebagai umat Islam. Sempena sambutan Mulidurrasul kali ini, sama-samalah kita mengenang kembali jasa dan pengorbanan baginda. Bahkan kita perlu terus mengamalkan sunnah dan berselawat ke atas baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan